carian di sini

Loading...

Categories

tazkirah (49) doa dan solat (15) firman dan hadis (13) kisah (7) hukum (4) wasiat (3) Rasullulah SAW (2) awas (1) dosa (1) fadhilat (1) iblis (1) renungan (1) zakat (1)

kiriman terkini

Sunday, August 10, 2008

Takhrij Hadis Yang Masyhur Di Kalangan Para Jemaah Haji Malaysia

1.1 Muqaddimah

Susunan ini adalah satu latihan takhrij ringkas bagi menilai kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith secara umum (General) bukan secara tafsil (Detail). Oleh itu sistem Assyawahid dan Mutaba'aat secara mendalam tidak diaplikasikan dalam proses takhrij ini.Wallahua'lam. Sebarang penambahbaikan dan komentar yang membina amatlah dialu-alukan.

1.2 Matan Hadith.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " من حج البيت ولم يزرنى فقد جفاني

Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam :" Barangsiapa yang mengerjakan haji dan dia tidak menziarahiku maka dia membenciku"

1.3 Riwayat-riwayat hadith ini bersama sanadnya ( kumpulan/ rentetan perawi hadith) dalam kita-kitab berikut:

1- As-Saghani telah mengeluarkannya di dalam kitab "Al-Ahadith Al-Madhu'ah (Hadis-Hadis Palsu) " Ms 6.
2- Dikeluarkan oleh Az-Zarkashi dan As-Syaukani dalam kitab " Al-Fawaid Al-Majmu'ah fil ahadith almaudhu'ah" (Himpunan fawaid yang berkaitan dengan hadis-hadis palsu) Ms 42.
3- Dikeluarkan oleh Ibnu Adiy dalam "Al Kamil fi Du'afa'irrijal " 7/2480
4- Ibnu Hibban dalam "Addu'afa' (Perawi-perawi yang lemah " 2/73
5- Ibnul Jauzi dalam "Al-Madhu'at" (Hadith-hadith Palsu) 2/217 .
6- Addaraqutni dalam "Al-Ilal" (sebagaimana yang dinaqalkan oleh As-Sayuti dalam "Addur Al-Manthur" 1/473.
7- Al-Khatib dalam "Ruwat Malik" sebagaimana yang di naqalkan oleh As-Sayuti dalam "Addurar al-muntathirah fil Ahadith Al-musytahirah" 1/191.
8- Addailami dari Ibnu Amr sebagaimana dinaqalkan oleh Al-Muttaqi Alhindi dalam "Kanzul 'Ummal"

1.4 Matan hadith bersama dengan sanadnya.

حدثنا محمد بن محمد بن النعمان بن شبل حدثنى جدى عن مالك عن نافع عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " من حج البيت ولم يزرنى فقد جفاني

Hadith ini dikeluarkan dari jalan perawi yang bernama Muhammad ibn Muhammad ibn Annukman ibn Syibil memberitakan dari datuknya daripada Nafi' daripada Abdullah ibnu Umar Radhiallahu'anhu sesungguhnya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: :" Barangsiapa yang mengerjakan haji dan dia tidak menziarahiku maka dia membenciku"

Turutan perawi hadith dari punca sanad (madarul isnad) dari bawah:

1- Muhammad bin Muhammad
2- Annukman bin Syibil (Datuk Muhammad)
3- Imam Malik
4- Nafi' maula Ibnu Umar
5- Ibnu Umar (Abdullah ibnu Umar Radhiyallahu.anhuma)
6- Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.

1.5 Komentar ulama-ulama hadith tentang hadith ini.

1- Az-Zahabi berkata :" maudhu' (palsu)" lihat Mizanul I'tidal 3/237. "hadith ini telah dipalsukan dengan menggunakan nama Imam Malik" lihat "Tartibul Maudhu'at" Ms 185
2- As-Sayuti berkata dalam "Addurar al-muntathirah fil Ahadith Al-musytahirah" " hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Addiy dan Addaraqutni dengan sanad yang terlalu lemah."1/191
3- As-Sakhawi berkata dalam "Al-Maqasid Al-Hasanah": "tidak sahih hadis ini".1/260
4- Al-'Ajluni dalam "Kasyful Khafa’ wa Muzilul Albas 'Amma Isytahara minal Ahadith 'ala Alsinatinnas" berkata: "tidak sahih" 2/278.
5- Ibn Al-Qaisarani dalam "Tazkiratil Maudhua'at" berkata: "tidak sahih" 1/535
*"tidak sahih" membawa maksud hadith ini tidak sah nisbahnya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam / tidak boleh diterima sebagai hadith. Wallahua'alam.
6- Ibnu Abdil Hadi dalam "As-Sarimul Munki" ketika mengkritik As-Subki berkata: " Semua hadith-hadith yang disebut dalam bab ini tidak ada satupun daripadanya yang sahih, sebaliknya ianya dhoif dan "wahiah" (tidak boleh diguna pakai)".Ms 5
7- Ibnul Mulaqqin dalam "Al-Badrul Munir" berkata:"dhoif" 6/299.

* Untuk mencari jalan-jalan lain bagi hadith ini (tatabbu' turuq) dan hadis-hadis yang lebih kurang sama dari lafaz dan makna ( mutaba'aat dan syawahid) sila rujuk kitab "At-Talkhisul Habir fi Takhrij Ahadith Ar-Rafi'ie Al-Kabir" Ibnu Hajar Al-'Asqalani 3/256 dan kitab-kitab lain yang berkaitan.

1.6 Komentar terhadap peribadi perawi hadith.

Ibnul Jauzi berkata:" dia (iaitu Muhammad ibn Muhammad ibnu Annukman) meriwayatkan dari para-para rawi yang thiqah (yang dipercayai) perkara-perkara yang terlalu pelik (yang tidak mungkin diriwayatkan oleh para thiqah tadi).Dia juga meriwayatkan daripada perawi-perawi yang kukuh ingatannya dengan hadith-hadith yang bercanggahan.Kemudian Ibnu Jauzi menaqalkan kata-kata Addaraqutni "punca kecacatan hadith ini daripada perawi ini"

1.7 Antara faktor utama yang menyebabkan hadith ini dinilai dhaif (lemah) atau maudhu' (palsu) ialah seperti berikut:

1- Tahap perawi hadith yang tidak menepati piawaian perawi hadith sahih atau hasan. Sila rujuk bab "atta'nu firruwah" (celaan pada perawi-perawi).
2- Perawi ini dikenali sebagai perawi yang sering meriwayatkan hadith-hadith yang bercanggah dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai. Sila rujuk tajuk (Syaz dan Munkar)
3- Perawi yang tidak boleh diterima apabila meriwayatkan hadith secara berseorangan. (Sila rujuk bab tafarrud)
4- Hadith ini tidak dikeluarkan oleh pengarang kitab-kitab hadith yang muktabar seperti Ashabussunan As-Sittah (Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasaie, Ibnu Majah) dan pengarang-pengarang kitab hadith yang lain. Sebaliknya ianya dikeluarkan oleh pengarang kitab-kitab hadith-hadith dhoif, yang mempunyai 'illah (kecacatan dari sudut sanad ataupun matan).
5- Membenci Nabi Sallallahu'alaihiwasallam adalah daripada dosa-dosa besar malahan ia boleh menyebabkan kekufuran.Hadis ini menunjukkan bahawa barangsiapa yang mengerjakan haji tetapi tidak menziarahi kubur Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah melakukan dosa besar.Dari "mafhum mukhalafah" (sudut yang berlawanan) boleh difahami bahawa menziarahi kubur Nabi Sallallahu'alaihiwasallam adalah sebahagian daripada perkara yang wajib sebagaimana wajibnya mengerjakan haji. Sedangkan hukum menziarahi kubur Nabi Sallallahu'alaihiwasallam JIKA ianya dikira sebagai amalan "qurbah" (mendekatkan diri dengan Allah" ia hanya akan berada dalam kategori perbuatan-perbuatan SUNAT.Adakah meninggalkan perkara-perkara sunat dikira membenci Nabi Sallallahu'alaihiwasallam? Sudah tentu tidak.

Kesimpulan:

Berdasarkan susunan ringkas di atas penyusun mendapati :
1- Sebahagian ULAMA-ULAMA HADITH daripada "mutaqaddimin" (yang terdahulu) dan mutaakhirin (kontemporari) menghukum hadith ini sebagai palsu berdasarkan keterangan di atas.

1. Ada sebahagian daripada ulama-ulama yang menghukum hadith sebagai dhoif sahaja.
2. Hadith ini tidak dapat dinaik taraf (upgrade) kepada tahap minima piawaian hadith yang boleh digunakan dalam hukum-hakam iaitu hasan atau hasan lighairihi (mengikut sesetengah pandangan ulama).Wallahua'lam.

Tulisan seorang sahabat saya, Abu Zubair untuk tatapan umum. Allahua’lam.

Sumber: Al-Ahkam

No comments:

popular di singgahi